Korang tak cukup duit untuk jelaskan hutang kad kredit atau bil tepat pada masanya?
Tak mengapa. Kewangan kita ada pasang surutnya. Dan semua orang ada potensi untuk hadapi masalah ini dari masa ke semasa.
Kalau korang ada masalah ni, tak usah pula nak down dan gunakan nasihat yang Tok kongsikan daripada blog Wisebread ni. In Shaa Allah ia dapat bantu selesaikan masalah ini dengan baik.
Tip #1: Belajar menerima kenyataan
Korang tahu tak apa sebab korang gagal membayar bil ini?
Adakah korang berbelanja lebih daripada sepatutnya, terpaksa gunakan duit untuk uruskan situasi kecemasan, atau ia adalah kesilapan kira-kira?
Tak perlu kita nak berselindung daripada fakta ini. Ya, mungkin ia berpunca daripada kesilapan diri sendiri. Tapi, bukan itu perkara yang kita patut fokus.
Kalau nak selesaikan sesuatu masalah, kita kena tahu dulu apakah punca yang wujudkan masalah ini. Nak tak nak, kita kena juga selesaikan masalah ini tak kita apa pun caranya (pastikan korang hanya gunakan cara yang Halal ya).
Sebabnya?
Katakan, korang terlalu down sebab masalah ini dan buat keputusan untuk tangguh bayaran. Tindakan ini akan berikan kesan tak elok kat laporan kredit korang.
Bayangkan. Dah tentu korang kena bayar penalti yang tinggi sebab lewat buat bayaran, kena jelaskan kadar faedah yang lebih tinggi, dan beberapa faedah tambahan yang lain kalau masalah ini berterusan.
Mengelak bayar hutang kad kredit korang hanya akan buatkan keadaan bertambah teruk. Jadi, kita perlu selesaikan masalah ini secepat mungkin bermula sekarang.
Mungkin korang akan rasa seperti tak ada sebarang harapan, tapi selagi kita tak fikirkan jalan penyelesaian segera, selagi itu kita akan tersangkut kat fasa ini. Dan ada saja jalan atau strategi nak selesaikan masalah ini dengan baik.
Tip #2: Ubah momentum kewangan anda dan mulakan ia segera
Sekarang, korang dah tahu apa punca masalah ini berlaku. Apa langkah seterusnya?
Mulakan dengan buat senarai hutang dan bil yang korang kena tanggung.
Periksa balik akaun bank (atau sebarang perisian yang korang gunakan untuk buat bajet) dan kaji balik semua urus niaga, sebarang deposit dan perbelanjaan yang kita buat.
Kat sini, kita akan dapat kenal pasti setiap pergerakan duit kita.
Biasanya, ada 2 sebab yang buatkan korang terjerumus dalam kancah masalah kewangan:
a) korang berbelanja tak ingat dunia (suka berbelanja secara berlebihan), ATAU
b) korang masih belum menjana pendapatan bulanan yang cukup.
Kalau korang terlebih berbelanja, cari jalan untuk betulkan balik perbelanjaan ini supaya ia tak menjadi lebih teruk berbanding sediakala. Sentiasa berfikir kat luar kotak dan secara kreatif untuk selesaikan masalah ni.
Bajet yang baik dah tentu akan membantu, tapi tak guna juga kalau kita tak berdisiplin mengikut bajet sedia ada dengan betul.
Dan bila korang dah kurangkan perbelanjaan sebanyak yang boleh, tiba masa untuk menjana wang lebihan gunakan kemahiran yang korang ada.
Mula cari jawapan untuk soalan seperti ini:
“Apa yang aku boleh buat pada hujung minggu untuk buat duit tambahan?”
Masa ni, korang terpaksa korbankan masa untuk bersenang-senang. Elakkan diri korang berada kat zon selesa selagi hutang yang ada belum habis dibayar. Tunggu hutang tu settle dulu, baru boleh berehat.
Setiap kali jadi masalah macam ni, fikirkan dulu punca kenapa masalah ni boleh berlaku, dan ambil tindakan segera untuk tukarkan momentum kewangan korang.
Ia mungkin akan ambil masa (mungkin selama beberapa bulan) untuk cipta bajet yang baik dan sesuaikan diri dengan perubahan yang korang dah buat.
Tapi selama mana kita bersabar dan berkorban untuk selesaikan masalah ini, tak mustahil kita boleh elakkan masalah kewangan yang lebih teruk pada masa depan.
Tip #3: Utamakan dulu bil dan hutang yang penting
Kalau korang dah buat tip #1 dan #2 dan masih tak ada wang yang cukup untuk bayar hutang korang, tiba masanya untuk beri keutamaan untuk bayar dulu hutang atau bil-bil yang penting.
Dah tentu kita kena jelaskan bil bulanan seperti eletrik dan air, sewa (atau ansuran) rumah, dan makanan. Ini antara perkara yang perlu kita jelaskan setiap bulan, tanpa gagal. Kalau tak, memang akan ada masalah nanti.
Susun mana-mana hutang bercagar (yang berhubung dengan aset) seperti gadai janji atau ansuran kereta, mengikut mana yang lebih penting untuk dibayar dulu.
Dan selagi boleh, elakkan gagal membayar perkara seperti ni. Kalau tak, korang ada potensi untuk hilang tempat berteduh, atau hilang kenderaan untuk ke tempat kerja.
Baki yang ada lepas dah bayar bil atau hutang seperti ini, boleh kita gunakan untuk jelaskan sebarang hutang lain. Lagi cepat kita boleh jelaskan segala hutang, lebih baik.
—
Kalau kita gagal uruskan hutang atau pembayaran bil dengan baik, kelak ia akan berikan masalah yang lebih besar pada masa akan datang.
Dan Tok yakin, tak ada siapa pun yang suka bila masalah macam ni berlaku.
Tak ada masalah kewangan yang kita tak boleh selesaikan. Ia bergantung 100% kat kita, sama ada kita sanggup berkorban dan buat, atau tak buat apa-apa langsung.
The post Apa nak buat kalau anda gagal bayar bil (atau hutang) tepat pada masanya? appeared first on Gila Hartanah.